Welcome to Research and Innovation @ USM Official Website       Icon Facebook In circle PNG

Post-Doctoral Fellow

  • DEFINISI PELANTIKAN FELO PASCA DOKTORAL (FPD)

    • Felo pasca doktoral (FPD) adalah lantikan penyelidik lepasan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang boleh menjalankan penyelidikan secara sepenuh masa ke arah kecemerlangan penyelidikan dan inovasi dalam sesuatu bidang penyelidikan bagi menghasilkan penulisan bahan ilmiah.
  • TUJUAN PELANTIKAN

    • Pelantikan felo pasca doktoral diwujudkan untuk membantu penglibatan staf akademik dalam penyelidikan, penerbitan dan rangkaian penyelidikan selaras dengan status Universiti Sains Malaysia sebagai sebuah universiti penyelidikan yang bertaraf APEX.
    • Pelantikan FPD dijangka akan memberikan impak yang baik kepada Universiti antaranya;
      • Memberikan ruang menimba pengalaman kepada pelajar Ijazah Tinggi yang menamatkan pengajian ijazah kedoktoran dengan jayanya, khususnya dalam kalangan pelajar USM yang menyempurnakan atau memperkembangkan penyelidikan yang dilaksanakan dalam pengajian ijazah kedoktoran.
      • Menyediakan kumpulan penyelidik untuk bekerjasama dengan kumpulan penyelidik yang merentasi sempadan.
      • Meningkatkan kapasiti kepakaran penyelidik USM dan memberikan kesinambungan dalam proses penyelidikan khususnya projek penyelidikan jangka panjang.
      • Memastikan aktiviti penyelidikan yang berterusan di USM.
      • Melonjakkan bilangan penghasilan penyelidikan melalui pengambilan FPD dalam bidang tujahan.
      • Memberikan peluang penelitian dan pemantauan berkaitan pengambilan calon untuk berkhidmat dengan USM sebagai staf kontrak/tetap yang mempunyai bakat terbaik (best talent).
  • SYARAT KELAYAKAN CALON DAN PENYELIA

    Universiti telah bersetuju menetapkan syarat-syarat pelantikan seperti di bawah:

    • KELAYAKAN CALON
      1. Mempunyai kelayakan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tidak melebihi lima (5) tahun dari tarikh tamat pengajian Doktor Falsafah semasa permohonan dikemukakan.
      2. Mempunyai merit akademik dan output penyelidikan yang baik dalam tiga (3) tahun terkini terutamanya penerbitan.
      3. Calon mesti menerbit sekurang-kurangnya tiga (3) penerbitan sebagai Penulis Pertama di dalam :
        • jurnal berindeks dalam ISI Web of Science  bagi calon bidang sains dengan satu (1) daripada penerbitan adalah di dalam jurnal Q1/ Q2 (Journal Citation Report (JCR) sahaja).
        • jurnal berindeks Scopus bagi calon bidang bukan sains dengan satu (1) daripada penerbitan adalah di dalam jurnal Q1/Q2 (SCImago Journal Rank (SJR) atau (JCR). Keutamaan diberikan kepada penerbitan di dalam JCR.
          • Bidang lantikan adalah terbuka dan perlu bersesuaian dengan penyelia yang telah dikenal pasti mengikut pusat pengajian/ pusat kecemerlangan
    • KRITERIA PENYELIA
      1. Merupakan staf akademik warganegara yang bertaraf tetap dan disahkan di dalam jawatan.
      2. Melibatkan diri secara berterusan dalam penyelidikan, penerbitan dan penyeliaan.
      3. Melibatkan diri secara aktif sebagai penyelidik dalam tempoh lima (5) tahun terkini.
      4. Aktif di dalam penyelidikan dengan sentiasa menghasilkan output penyelidikan yang cemerlang.
      5. Dalam tiga (3) tahun terkini penyelia mesti telah menerbit sekurang-kurangnya tiga (3) penerbitan sebagai Penulis Utama (corresponding) atau Penulis Pertama di dalam:
        • jurnal berindek ISI Web of Science bagi penyelia di dalam bidang sains termasuk satu (1) penerbitan di dalam Q1/ Q2 JCR.
        • jurnal berindeks SCOPUS bagi penyelia bidang bukan sains termasuk satu (1) satu penerbitan di dalam Q1/ Q2 SCImago Journal Rank (SJR) atau JCR. Keutamaan diberikan kepada penerbitan di dalam JCR.
      6. Mempunyai geran penyelidikan luar yang aktif sebagai ketua penyelidik dalam tempoh minimum satu (1) tahun pada tarikh permohonan.
      7. Mempunyai pengalaman mengijazahkan pelajar PhD sebagai Penyelia Utama (sekurang-kurangnya satu (1) orang pelajar PhD).
      8. Penyelia yang telah diluluskan cuti sabatikal (atau tidak lagi aktif di USM) tidak boleh memohon FPD.

    Nota:

    Kelayakan calon, penyelia dan KPI untuk FPD yang ditaja sepenuhnya oleh pihak luar ditentukan oleh penaja.

  • SKOP KERJA DAN TUGAS

    • FPD yang dilantik hendaklah terlibat dalam tugas-tugas berikut:

      • Menjalankan penyelidikan dalam bidang/ aspek yang ditetapkan.
      • Menyediakan laporan kemajuan (Progress Report) setiap enam (6) bulan. Borang laporan kemajuan boleh diperolehi dari laman sesawang Bahagian Penyelidikan dan Inovasi: <<klik sini>> 
      • Menguruskan projek penyelidikan.
      • Menghasilkan penerbitan mengikut KPI yang telah ditetapkan.
      • PTJ hendaklah bertanggungjawab memantau perkembangan atau proses FPD bersama dengan Penyelia.
      • FPD tidak boleh menjadi Penyelidik Utama (PI) geran penyelidikan dalaman.
      • FPD TIDAK DIBENARKAN terlibat di dalam aktiviti pengajaran. 
  • PETUNJUK PRESTASI UTAMA/ KEY PERFORMANCE INDICATOR (KPI)  - 

    Universiti telah bersetuju menetapkan Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI) kepada FPD dan Penyelia FPD seperti di bawah:

    • Penerbitan FPD : sepanjang tempoh satu (1) tahun di USM, FPD perlu menghasilkan tiga (3) penerbitan sebagai Penulis Pertama:
      • di dalam jurnal berindeks ISI Web of Science bagi calon bidang sains termasuk dua (2) penerbitan di dalam Q1 /Q2 JCR (bukan SJR).
      • di dalam jurnal SCOPUS bagi calon bidang bukan sains termasuk satu (1) penerbitan di dalam Q1/ Q2 SJR. Penerbitan di dalam jurnal JCR amat digalakan.
    • Penerbitan/KPI FPD akan diambil kira sebagai KPI tambahan kepada KPI sedia ada Penyelia yang telah ditetapkan Universiti.
    • KPI ini adalah kriteria utama penilaian dan pertimbangan bagi permohonan pelantikan semula (sekiranya ada).
  • SYARAT LANTIKAN

    • PELANTIKAN BAHARU - Taraf lantikan dikategorikan sebagai Felo.
      1. Tempoh minimum lantikan FPD adalah selama satu (1) tahun. Pelantikan semula boleh dipertimbangkan untuk tempoh maksimum satu (1) tahun sahaja menjadikan jumlah pelantikan keseluruhan maksimum dua (2) tahun. (Bagi lantikan menggunakan peruntukan Universiti)
      2. Manakala tempoh lantikan FPD yang menggunakan peruntukan selain peruntukan Universiti adalah minimum enam (6) bulan dan tidak melebihi tempoh maksimum keseluruhan lima (5) tahun.
      3. Calon yang berjaya perlu memberikan jawapan penerimaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat tawaran dikeluarkan.
      4. Calon yang bersetuju menerima tawaran lantikan perlu melapor diri dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh slip jawapan penerimaan.
      5. FPD perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan diakui sihat oleh Pegawai Perubatan Kerajaan Malaysia sebelum berkhidmat di USM.
      6. Calon FPD perlu menandatangani perjanjian USM Post Doctoral Fellowship Scheme Agreement dan terikat dengan perjanjian yang ditandatangani.
      7. FPD perlu mengemukakan laporan kemajuan (Progress Report) kepada penyelia dan seterusnya dihantar kepada Pusat Pengajian/Pusat Kecemerlangan untuk setiap enam (6) bulan sepanjang tempoh lantikan.
      8. FPD yang telah/ pernah berkhidmat dua (2) tahun di USM tidak layak memohon FPD yang menggunakan peruntukan Universiti. (Tempoh lantikan adalah secara kumulatif walaupun PTJ/ Penyelia berbeza atau FPD telah letak jawatan). Walau bagaimanapun boleh dipertimbangkan pelanjutan atau perkhidmatan sebagai FPD di USM menggunakan peruntukan selain pembiayaan USM seperti tajaan luar, geran penyelidikan dsb.
      9. Semua calon pelantikan boleh dipanggil untuk ditemuduga oleh Jawatankuasa Kecil PTJ.

    • PELANTIKAN SEMULA

      1. Penyelia bertanggungjawab memastikan FPD mencapai KPI yang ditetapkan dan mengemukakan permohonan pelantikan semula FPD kepada Pegawai Pentadbiran – Sumber Manusia PTJ/ Bahagian Penyelidikan dan Inovasi tiga (3) bulan sebelum tarikh tamat untuk pertimbangan.
      2. Pusat Pengajian perlu menyertakan kesemua laporan kemajuan FPD sepanjang tempoh lantikan untuk pertimbangan pelantikan semula FPD.
      3. Semua calon pelantikan semula boleh dipanggil untuk ditemuduga oleh Jawatankuasa Kecil Sumber Manusia PTJ/BSM.
  • SUMBER PEMBIAYAAN

    • PEMBIAYAAN DARIPADA PERUNTUKAN USM
      1. Semua pelantikan/ pelantikan semula FPD yang menggunakan peruntukan USM adalah bergantung kepada kemampuan Universiti pada satu-satu masa yang akan ditawarkan melalui iklan pengambilan dari masa ke semasa.
      2. FPD dibayar honorarium RM5,500.00 sebulan secara pukal dan menggunakan Tabung Universiti Penyelidikan: 1001.JPNP.AUPE002 atau mana-mana tabung pembiayaan lain Universiti yang akan dimaklumkan dari masa ke semasa.
      3. Tiada peningkatan honorarium bagi pelantikan semula.
      4. Tidak layak menerima imbuhan tahunan (bonus).
      5. FPD akan dikenakan Potongan Cukai Berjadual (PCB).
      6. Surat pelantikan akan diuruskan oleh PTJ (disentralisasi) perlu disalinkan kepada Bahagian Sumber Manusia atau Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (tidak disentralisasi).
      7. Bagi PTJ yang tidak disentralisasi (seperti Pusat Penyelidikan/ Kecemerlangan dsb.), proses pelantikan akan diuruskan oleh Bahagian Penyelidikan dan Inovasi.
    • PEMBIAYAAN GERAN PENYELIDIKAN/ TAJAAN LUAR/ TANPA PEMBIAYAAN
      1. Borang permohonan dikemukakan kepada pusat pengajian untuk dibentangkan dan diperakukan oleh Jawatankuasa Kecil Pusat Tanggungjawab (PTJ) – Sumber Manusia.
      2. Semua permohonan yang dibiayai oleh Geran Penyelidikan/ Tajaan Luar/ Tanpa Pembiayaan hendaklah dikemukakan terus kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) untuk kelulusan tanpa melalui Jawatankuasa Saringan & Pemantauan Felo Pasca Doktoral di Bahagian Penyelidikan dan Inovasi.
      3. Semua permohonan FPD daripada Pusat Tanggungjawab (PTJ) kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) perlu melalui Bahagian Penyelidikan dan Inovasi.
      4. Kadar sesuatu bayaran honorarium kepada FPD dan tempoh lantikan boleh ditentukan oleh penyelia berdasarkan kemampuan kewangan.
      5. FPD akan dikenakan Potongan Cukai Berjadual (PCB).
      6. Surat pelantikan akan diuruskan oleh PTJ disentralisasi dan perlu disalinkan kepada Bahagian Penyelidikan dan Inovasi.
      7. Bagi PTJ yang tidak disentralisasi (seperti Pusat Penyelidikan/ Kecemerlangan dsb.), proses pelantikan akan diuruskan oleh Bahagian Penyelidikan dan Inovasi.
  • KEMUDAHAN -  Semua kemudahan perkhidmatan yang disenaraikan di bawah hanya diberikan TERHAD kepada FPD sahaja dan tidak termasuk tanggungan.

    • KEMUDAHAN PERUBATAN
      1. Hanya layak menerima kemudahan perubatan di Pusat Sejahtera/Klinik IPPT/Hospital USM (HUSM).
      2. FPD perlu menanggung sendiri kos rawatan pemeriksaan bagi rawatan lanjut/ berkala/ susulan.
    • KEMUDAHAN CUTI
      1. FPD layak menikmati Cuti Rehat empat belas (14) hari setahun dan perlu dihabiskan dalam setiap tempoh lantikan.
      2. Permohonan Cuti Rehat perlu diluluskan oleh Dekan dan Penyelia. Sekiranya FPD mengambil cuti tanpa kelulusan, Universiti boleh menamatkan perkhidmatan FPD tersebut.
      3. Kelayakan Cuti Sakit adalah sebanyak tujuh (7) hari setahun.
      4. FPD tidak layak memohon cuti-cuti lain. Walau bagaimanapun cuti-cuti tersebut boleh dipertimbangkan atas budi bicara Naib Canselor.
      5. Bayaran honorarium FPD akan diberhentikan sekiranya permohonan cuti selain cuti rehat melebihi empat belas (14) hari dari kelayakan dengan kelulusan Ketua Jabatan.
    • KEMUDAHAN YANG TIDAK DITANGGUNG/ TIDAK DISEDIAKAN OLEH UNIVERSITI
      1. Penginapan dan pengangkutan.
      2. Urusan suami/isteri dan anak-anak FPD.
      3. Pendidikan anak-anak FPD.
      4. Semua yuran pemeriksaan perubatan.
      5. Pelindungan insurans (FPD dinasihatkan untuk mengambil insurans kesihatan)
      6. Kos pemeterian perjanjian dan visa.
      7. Bayaran Ganjaran/ Gratuiti
      8. Ganjaran Cuti Rehat/ Award Wang Tunai (AWT).
      9. Potongan KWSP.
      10. Bonus/Imbuhan.
  • PENAMATAN PERKHIDMATAN - Universiti dan FPD boleh menamatkan perkhidmatan dengan memberi notis secara bertulis dan perkhidmatan FPD boleh ditamatkan mengikut syarat-syarat berikut:

    • Ditamatkan Dalam Tempoh Perkhidmatan
      • Perkhidmatan FPD boleh ditamatkan dengan diberi tiga puluh (30) hari notis atau dibayar satu (1) bulan gaji sebagai ganti notis tanpa diberi sebarang sebab.

    • Pengakuan Palsu
      • Pihak universiti boleh menamatkan perkhidmatan FPD dengan serta merta sekiranya didapati mana-mana butiran atau maklumat yang dikemukakan semasa membuat permohonan bagi jawatan ini tidak benar, palsu dan sebagainya.

    • Peletakan Jawatan
      • FPD boleh meletak jawatan dengan memberi tiga puluh (30) hari notis atau dengan membayar balik satu (1) bulan gaji sebagai ganti notis.
      • Ketua Jabatan diberikan kuasa untuk meluluskan peletakan jawatan FPD dan disalinkan surat kelulusan tersebut ke Bahagian Penyelidikan dan Inovasi dan Bahagian Sumber Manusia.
  • LIABILITI

    • Staf yang telah dilantik tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti, 1971, dan Pindaan Perlembagaan Universiti Sains Malaysia, Statut, Akta, Peraturan, Pekeliling dan Peraturan-Peraturan lain yang berkuatkuasa di Universiti Sains Malaysia.
  • PINDAAN

    • Garis panduan ini boleh dipinda berdasarkan keperluan Universiti dari semasa ke semasa tertakluk pekeliling atau peraturan yang ditetapkan.
  • Pegawai FPD Untuk Dihubungi V3

All Rights Reserved©R&I

Division of Research & Innovation,
Level 6, Chancellory, Universiti Sains Malaysia,
11800 USM, Pulau Pinang, Malaysia.
No. Telefon : +604-653 3108 | No. Faks : 04-656 6466        
Email : rni@usm.my
Research Creativity and Management Office
Level 2, Chancellory II, Building E42, Universiti Sains Malaysia,
11800 USM, Pulau Pinang, Malaysia.
No. Telefon : +604-653 6527/6525 | No. Faks : 04-653 6553/6554  
Email : rcmo@usm.my