DIUJI DALAM PEMANDUAN LITAR EKSTREM, ‘JVR SELFHEAL TYRE’ SERLAH KEUPAYAAN PENYELIDIKAN USM
BERANANG, 23 Oktober 2026 – Pejabat Penyelidikan dan Inovasi (R&I), Universiti Sains Malaysia (USM) merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Profesor Madya Dr. Raa Khimi Shuib dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, USM atas kejayaan membangunkan JVR SELFHEAL TYRE, teknologi tayar motosikal berasaskan getah sembuh sendiri (self-healing rubber).

Kejayaan ini diperlihatkan menerusi sesi pandu uji ekstrem selama dua jam tanpa henti di Horizon Beranang Circuit, Selangor. Program anjuran bersama USM dan MotoWazi ini dikendalikan oleh pasukan MOTOWAZI yang diketuai oleh pengasasnya, Dr. Wazi Abdul Hamid, bersama-sama pelumba profesional negara dan juara Asia, iaitu Zaqhwan Zaidi, Azroy Anuar, Suhaidi dan Afiq.
Penyelidikan ini menerima tajaan Projek R&D MOSTI Dana Pembangunan Teknologi 2 (TED2) bernilai RM3 juta. Sesi pandu uji turut melibatkan tayar yang telah dipancitkan bagi memperlihatkan keupayaan teknologi sembuh sendiri yang dibangunkan. Berdasarkan maklum balas pelumba profesional, tayar tersebut menunjukkan cengkaman dan kestabilan yang baik dan tekanan angin kekal stabil sepanjang tempoh ujian ekstrem tersebut.

Penyelidikan ini turut melibatkan kolaborasi industri bersama Everthrough Rubber Products Sdn. Bhd., yang diwakili oleh pengarahnya, Mr. Johnny Ng, serta Malaysian Rubber Council (MRC) yang menyokong aspek pengesahan pasaran (market validation) dan pengkomersialan. Program ini turut dihadiri oleh Puan Norbaya binti Othman, Setiausaha Bahagian Dana MOSTI, pegawai-pegawai MOSTI, wakil RCMO USM serta wakil Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, USM.

Pembangunan JVR SELFHEAL TYRE membuktikan keupayaan penyelidik USM menterjemahkan hasil penyelidikan kepada inovasi berpotensi komersial. Kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan dan industri ini diharap dapat memperkukuh daya saing industri getah negara serta membuka peluang pengembangan teknologi tempatan ke pasaran yang lebih luas.

Pejabat R&I USM berharap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan berimpak tinggi dan inovasi yang menyumbang kepada pembangunan industri serta negara.

- Hits: 183