DANA INOVASI SOSIAL - JALINAN KERJASAMA KOMUNITI - AKADEMIA

Universiti Sains Malaysia menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Bahagian Dasar & Penyelidikan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian dan turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, YBrs. Prof. Dr. Habibah A. Wahab, dalam lawatan tapak ke projek komuniti yang sedang dilaksanakan di Teluk Bahang menerusi Dana Inovasi Sosial.

Projek bertajuk Sistem Agroteknologi Bersepadu (SAB) untuk memperkasakan nurseri komuniti PPDK ini diterajui oleh Prof. Ts. Dr. Norli Ismail, selaku Ketua Projek. Turut bersama sebagai ahli projek Ts. Dr. Harlina Ahmad, Dr. Widad Fadhullah dan Dr. Mohd Asyraf Kassim. Lawatan ini mengukuhkan komitmen untuk memperkasa kerjasama komuniti–akademia serta memaksimumkan pemindahan teknologi yang relevan di lapangan.

Projek SAB menunjukkan bagaimana penyelidikan universiti diterjemah kepada amalan yang membantu komuniti mengurus pengeluaran secara lebih yakin, kos efektif, dan konsisten. Intervensi utama melalui sistem Taman Vertikal Minimalis (TVMTech) menaikkan kapasiti pengeluaran sayur sebanyak 87.5% berbanding hidroponik konvensional, diikuti penurunan kos operasi sekitar 25% dan peningkatan pendapatan peserta sehingga 89%. Angka-angka ini jelas kepada komuniti, bukan sekadar teori.

Projek ini memposisikan orang kelainan upaya sebagai penyumbang dalam rantaian nilai pertanian dalam komuniti, dengan sokongan rapat daripada guru dan penyelidik.

- Hits: 140