Welcome to Research and Innovation @ USM Official Website       Icon Facebook In circle PNG

  • News
  • PUSAT PENGURUSAN BENCANA NERVE CENTRE - NADMA BINCANG KERJASAMA SELARAS BANTU BENCANA

PUSAT PENGURUSAN BENCANA NERVE CENTRE - NADMA BINCANG KERJASAMA SELARAS BANTU BENCANA

Poster NERVE CENTRE NADMA KERJASAMA

PUTRAJAYA, 16 Mac 2023 – Pusat Pengurusan Bencana Nerve Centre Universiti Sains Malaysia (PPBNC USM) menjalin kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menyelaraskan pengurusan bencana terhadap warga staf USM dan komuniti setempat yang terkesan dengan bencana termasuk musibah banjir dalam negara.

Untuk itu, Pengarah PPBNC USM, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian hari ini mengadakan kunjungan hormat menemui Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idris yang menyambut baik hasrat tersebut.

Menurut Sivamurugan, pihaknya berterima kasih atas sokongan NADMA dan berharap dapat mengukuhkan lagi kerjasama di antara kedua-dua pihak.

"Kita akan mengikut nasihat dan saranan NADMA dalam menghadapi sebarang bencana yang berlaku," kata beliau lagi.

Beliau turut memaklumkan tentang hasrat USM mengadakan Persidangan Pengurusan Bencana Kebangsaan pada September tahun ini.

Sivamurugan turut memberitahu NADMA tentang penubuhan Pusat Pemindahan Sementara di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan yang sentiasa menjadi tumpuan pesakit dari hospital berhampiran serta warga kampus termasuk pelajar dan staf yang terkesan dengan bencana banjir sejak musibah banjir besar di Kelantan pada tahun 2014 lalu.

Sementara itu, Khairul Shahril berkata, pihaknya sentiasa menerima dan menyokong sebarang agenda dalam pengurusan bencana di negara ini.

"Pendidikan awal perlu dilakukan secara berterusan supaya ketersediaan masyarakat sebelum bencana juga amat perlu dititikberatkan," tambah beliau.

WhatsApp Image 2023 03 17 at 12.36.23 PM

Beliau turut menekankan kepada isu keselamatan mangsa dan para sukarelawan ketika berlakunya sesuatu bencana kerana dalam keghairahan melaksanakan kesukarelawanan, keselamatan amat penting agar tiada nyawa terkorban mahupun tercedera.

"Setiap warga Universiti dan masyarakat perlu sedar dan memahami bidang tugas NADMA agar segala proses gerak kerja dapat berjalan dengan lancar," tambah beliau.

Menurut Khairul Shahril lagi, terdapat modul yang digunakan khas bagi melatih sukarelawan termasuk Pasca Banjir dan keperluan sukarelawan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang boleh dipelajari bersama.

Ketua Pengarah NADMA itu berkata, pihaknya akan cuba membantu USM termasuk menyumbang khemah khas bagi kegunaan mangsa banjir kepada PPS Kampus Kesihatan.

PPBNC USM akan sentiasa secara berterusan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menyelaras pengurusan bencana yang jitu dan membuat penambahbaikan yang berterusan.

Teks: Tuan Mohd Salman Tuan Mohd Jaffar/Suntingan: Mohamad Abdullah/Foto: PPBNC USM

https://news.usm.my/index.php/berita-mutakhir/8673-pusat-pengurusan-bencana-nerve-centre-nadma-bincang-kerjasama-selaras-bantu-bencana

  • Hits: 279

All Rights Reserved©R&I

Division of Research & Innovation,
Level 6, Chancellory, Universiti Sains Malaysia,
11800 USM, Pulau Pinang, Malaysia.
No. Telefon : +604-653 3108 | No. Faks : 04-656 6466        
Email : rni@usm.my
Research Creativity and Management Office
Level 2, Chancellory II, Building E42, Universiti Sains Malaysia,
11800 USM, Pulau Pinang, Malaysia.
No. Telefon : +604-653 6537/6525 | No. Faks : 04-653 6553/6554  
Email : rcmo@usm.my